Tuesday, 13 June 2017

10 Tips Melancong di Dalam Negara

Bila bercakap mengenai 1Malaysia, kita sering mengaitkannya dengan makanan, bangsa, pendidikan atau aktiviti kegemaran semua iaitu membeli-belah. Namun, tidak kurang juga ada yang minat melancong. Malah statistik Jabatan Pelancongan negara menunjukkan rakyat Malaysia membelanjakan sekitar RM41.2 billion pada 2014 untuk melancong dalam negara sahaja!
Ternyata penduduk negara ini gemar melancong ditambah lagi dengan kemunculan pelbagai kempen dan pesta pelancongan yang ada setiap tahun. Tetapi, pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana mendapatkan percutian yang menarik dan selesa dengan perbelanjaan yang rendah. Kami senaraikan 10 tips untuk rujukan anda.

1. Bercuti di waktu off-peak season
Harga tempahan bilik dan penerbangan semasa musim cuti sekolah, cuti perayaan atau hujung minggu lazimnya lebih tinggi. Ia digelar waktu ‘peak season’ atau waktu puncak. Untuk perjalanan lebih menguntungkan, pilih waktu bukan puncak (off-peak season). Kurang mahal malah tidak perlu menempuhi kesesakan lalu lintas!
2. Pilih destinasi yang kurang dikunjungi orang ramai
Destinasi tempatan juga menawarkan pelbagai pakej menarik dengan harga berpatutan. Jika anda penggemar alam sekitar, boleh mencuba untuk bermalam beberapa hari di Hutan Royal Belum di Gerik, Perak atau ke Taman Negara Pahang. Ataupun pergi berenang dan menyelam di sekitar Pulau Aur di Johor, Pulau Tenggol, Terengganu atau Pulau Bohey Dulang di Sabah. Sedikit sebanyak kita akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk di kawasan ini. 


3. Periksa waktu terbaik untuk berjalan-jalan ke destinasi ditujui
Umum mengetahui kedudukan Malaysia yang terletak di garisan Khatulistiwa  mempunyai dua musim iaitu musim tengkujuh dan musim panas. Musim tengkujuh kebiasaannya antara bulan November hingga bulan Mac. Waktu ini angin yang kuat dan hujan lebat melanda pantai timur Semenanjung negara dan sama-sekali tidak sesuai untuk aktiviti pantai. Maka anda boleh memilih untuk bercuti di bahagian pantai barat Semenanjung sepanjang tempoh itu.
4. Beli tiket penerbangan selepas tengah malam
Pembelian tiket penerbangan selepas tengah malam adalah lebih baik bukan sahaja kerana lebih sedikit orang yang melayari laman web berkenaan, malah kadang-kala anda juga boleh mendapatkan tawaran lebih murah. Kita perlu sedikit tabah untuk memperoleh hasil yang lebih baik, betul tak? 
5. Buangkan ‘cookies’ enjin carian setiap kali membuat pembelian tiket penerbangan
Tahukah anda semakin banyak rekod pencarian anda disimpan dalam rekod ‘cookies’ enjin carian anda, semakin tinggi harga yang akan diperolehi? Ini adalah satu muslihat yang ramai mungkin tidak sedar. Untuk penjimatan berganda, jangan lupa bersihkan rekod ‘cookies’ anda!

6. Pembelian tiket penerbangan paling murah antara hari Selasa dan Rabu
Ini kerana tidak ramai penumpang yang terbang pada hari- hari berkenaan. Hari Isnin masih mengekalkan harga yang tinggi kerana kebanyakan orang mempunyai urusan kerja di mana-mana negeri pada hari itu. Kemudian mereka akan pulang selepas beberapa hari, kebiasaannya hari Khamis atau Jumaat. Seterusnya hujung minggu adalah waktu puncak. 
7. Pilih tempat penginapan yang murah
Ramai yang mahukan tempat penginapan yang selesa untuk diri sendiri dan juga keluarga. Kini Malaysia mempunyai rangkaian pilihan yang lebih meluas dengan harga lebih jimat. Bagi yang berkeluarga, anda boleh memilih untuk tinggal di rumah inap (homestay). Semakin ramai yang membuat perkhidmatan ini yang bukan sahaja selesa malah lebih murah untuk ditinggal dalam jumlah yang ramai.
Atau bagi yang lebih gemar melancong secara backpack, anda juga boleh menyewa di dormitori. Di sini, anda boleh menambah kenalan dari pelbagai latar belakang, bangsa dan negara kerana persekitarannya yang lebih terbuka. Barulah 1Malaysia! 
8. Tempah penginapan lebih awal
Sesetengah orang bagaimanapun lebih selesa untuk menginap di hotel berdasarkan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih memuaskan. Dengan kemudahan teknologi sekarang, ia lebih mudah untuk membuat tempahan penginapan dengan lebih awal. Anda boleh memeriksa julat harga antara satu tempat ke tempat lain di laman-laman enjin carian hotel seperti Agoda dan Booking.com yang menawarkan banyak pilihan.
Sesetengah tempat memerlukan anda membuat pembayaran deposit untuk menjamin tempat. Bagi yang tidak memerlukan deposit, pastikan anda tiba di tempat penginapan ditempah pada waktu ditetapkan dan membayar tempahan dijanjikan. Sebagai sebuah masyarakat dalam sebuah negara yang menuju konsep negara berpendapatan tinggi, integriti setiap orang memainkan peranan penting. Kita harus jujur,amanah dan bertanggungjawab dengan tindakan kita supaya memudahkan pihak penginapan melakukan tugas mereka.


9. Gunakan pengangkutan awam untuk melancong
Sekarang ini, lebih banyak pengangkutan awam yang menghubungkan satu negeri ke negeri yang lain disediakan di seluruh negara. Ini bermakna semakin mudah untuk kita bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Contohnya, kemudahan kereta api ETS terbaru yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Padang Besar, Perlis hanya mengambil masa kurang 5 jam. Ia turut menyediakan kantin dan sistem televisyen untuk menemani perjalanan anda. Bayangkan betapa selesa dan mudahnya untuk kita melancong sekarang! Tak perlu lagi memandu selama berjam-jam ke kampung. 

10. Cuba aktiviti masyarakat tempatan
Lain tempat, lain adat dan budaya mereka.  Jadi inilah peluang kita untuk mencuba perkara baru dan mempelajari budaya-budaya masyarakat setempat. Contohnya mencuba mee kolok di Sarawak, belajar seni warisan tekat di Perak, belajar berenang seperti Bajau Laut atau mencuba gaya hidup masyarakat Orang Asli di Pahang. Keseronokan dialami pasti membuatkan anda tidak putus-putus ingin melancong di sekitar negara. Pengalaman unik ini pasti tidak dilupakan! 
Jangan lupa kongsikan gambar atau pengalaman anda di laman Facebook 1Malaysia atau hashtag #1malaysia dan #cuticutimalaysia.

No comments: