Friday 8 September 2017

Tarikan pulau Dayang Bunting

Percutian ke Pulau Lang­kawi dikatakan tidak leng­kap jika tidak menikmati panorama Dayang Bunting Marble Geoforest Park yang indah dan mendamaikan.
Lantaran itu, penulis tidak melepaskan peluang ke destinasi berkenaan semasa berkunjung ke pulau legenda berkenaan baru-baru ini.
Ternyata, perjalanan menaiki bot laju hampir 30 minit menempuh ombak begitu berbaloi apabila kita disajikan pemandangan semula jadi yang begitu memukau dan cantik.
Pulau Dayang Bunting ini bebas daripada sebarang pembangunan kerana sudah diwartakan sebagai hutan simpan dan diletakkan bawah pengurusan Pejabat Hutan Langkawi.
PULAU DAYANG BUNTING kelihatan seperti seorang wanita yang hamil sedang berbaring
Tambahan, ia juga mendapat pengiktirafan UNESCO dan dikategorikan sebagai salah satu geopark di Langkawi.
Semasa dalam perjalanan, kita dapat melihat bentuk muka bumi pulau seakan-akan seperti wanita yang sedang hamil sedang berbaring dan dari situlah pulau ini mendapat nama.
Terdapat mitos mengatakan wanita yang sukar hamil, jika meminum air tasik di sini akan dikurniakan anak.
Pulau ini mempunyai dua mitos lain yang menjadi cerita rakyat berkaitan asal kejadiannya, iaitu pergaduhan antara Mat Raya dan Mat Chincang serta cerita jin bernama Mambang Sari yang mati ketika melahirkan anak.
Tarikan utama di pulau kedua terbesar selepas pulau Langkawi ini semestinya tasiknya yang seluas hampir tiga padang bola sepak.
Biarpun hampir dengan laut, air di tasik ini tidak masin dan menjadi tumpuan pelancong melakukan aktiviti air.
Tetapi, pengunjung diberi peringatan agar menggunakan jaket keselamatan apabila berada dalam air kerana tasik ini mempunyai kedalaman 10 meter dan ada kejadian lemas di sini akibat tidak mengikut arahan yang ditetapkan.
Jaket boleh disewa di sini dengan kadar RM5 atau boleh meminjamnya daripada bot laju yang membawa kita.