Friday, 8 September 2017

Tarikan pulau Dayang Bunting

Percutian ke Pulau Lang­kawi dikatakan tidak leng­kap jika tidak menikmati panorama Dayang Bunting Marble Geoforest Park yang indah dan mendamaikan.
Lantaran itu, penulis tidak melepaskan peluang ke destinasi berkenaan semasa berkunjung ke pulau legenda berkenaan baru-baru ini.
Ternyata, perjalanan menaiki bot laju hampir 30 minit menempuh ombak begitu berbaloi apabila kita disajikan pemandangan semula jadi yang begitu memukau dan cantik.
Pulau Dayang Bunting ini bebas daripada sebarang pembangunan kerana sudah diwartakan sebagai hutan simpan dan diletakkan bawah pengurusan Pejabat Hutan Langkawi.
PULAU DAYANG BUNTING kelihatan seperti seorang wanita yang hamil sedang berbaring
Tambahan, ia juga mendapat pengiktirafan UNESCO dan dikategorikan sebagai salah satu geopark di Langkawi.
Semasa dalam perjalanan, kita dapat melihat bentuk muka bumi pulau seakan-akan seperti wanita yang sedang hamil sedang berbaring dan dari situlah pulau ini mendapat nama.
Terdapat mitos mengatakan wanita yang sukar hamil, jika meminum air tasik di sini akan dikurniakan anak.
Pulau ini mempunyai dua mitos lain yang menjadi cerita rakyat berkaitan asal kejadiannya, iaitu pergaduhan antara Mat Raya dan Mat Chincang serta cerita jin bernama Mambang Sari yang mati ketika melahirkan anak.
Tarikan utama di pulau kedua terbesar selepas pulau Langkawi ini semestinya tasiknya yang seluas hampir tiga padang bola sepak.
Biarpun hampir dengan laut, air di tasik ini tidak masin dan menjadi tumpuan pelancong melakukan aktiviti air.
Tetapi, pengunjung diberi peringatan agar menggunakan jaket keselamatan apabila berada dalam air kerana tasik ini mempunyai kedalaman 10 meter dan ada kejadian lemas di sini akibat tidak mengikut arahan yang ditetapkan.
Jaket boleh disewa di sini dengan kadar RM5 atau boleh meminjamnya daripada bot laju yang membawa kita.

Selain berenang, pengunjung boleh melakukan aktiviti lain seperti berkayak, bot kayuh dan menikmati spa ikan semula jadi.
Bagi yang berminat dengan aktiviti luar, mereka boleh melakukan aktiviti lasak dengan aktiviti tali, merentas hutan dan berkhemah tetapi perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.
Di samping tasik air tawar, ini, Pulau Dayang Bunting turut mempunyai beberapa tarikan lain seperti Gua Langsir, pokok-pokok berusia ratusan tahun, formasi batu-batuan yang terbentuk jutaan tahun dahulu dan hidupan liar seperti burung dan pelbagai spesies monyet.
Pengunjung diingatkan berhati-hati dengan monyet di sini yang kelihatan agak jinak, tetapi bertindak agresif apabila melihat bungkusan makanan.
Bagi yang tidak mahu melepaskan peluang menikmati keindahan alam ini, boleh mengambil pakej yang disediakan, sama ada di jeti pelancongan Pekan Rabu, Kuah ataupun jeti di Pantai Tengah dengan harga sekitar RM35 hingga RM45 seorang.
Pengunjung turut dibawa mandi-manda di Pantai Beras Basah dan memberi burung helang makan di Pulau Singa Besar dalam pakej yang ­ditawarkan tersebut.

No comments: