Thursday 7 March 2019

Pulau percutian di Terengganu kembali dibuka


KUALA TERENGGANU: Pulau peranginan di Terengganu kembali dibuka kepada pelancong bermula bulan ini, selepas ditutup selama empat bulan berikutan musim tengkujuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata, walaupun cuaca dan keadaan ombak dilihat baik sejak bulan lalu, pengusaha resort tidak terburu-buru untuk memulakan operasi.
Beliau berkata, pengusaha resort dan dan penginapan di pulau peranginan di negeri ini juga memanfaatkan tempoh penutupan pulau untuk membaik pulih infrastruktur di lokasi masing-masing.
“Berdasarkan pengalaman lalu, ada beberapa pengusaha resort terpaksa menyediakan penginapan dan makan minum tambahan kepada pelancong yang terkandas di pulau akibat keadaan cuaca dan gelora ombak besar apabila resort dibuka awal sekitar Februari.
“Disebabkan itu pengusaha resort menangguhkan operasi daripada Februari kepada pada bulan ini bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelancong terjamin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengusaha resort dan penginapan juga diingatkan sentiasa peka dan mengemaskini keadaan cuaca semasa dengan Jabatan Laut bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar.

Dalam pada itu Ariffin berkata, jualan pakej pelancongan untuk pulau peranginan di negeri ini pada Festival Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Terengganu baru-baru ini mendapat sambutan sangat memberangsangkan.
“Daripada maklumat yang diperolehi, selain orang perseorangan, banyak agensi kembara dan pelancongan menempah resort dan penginapan untuk memenuhi permintaan pengunjung.
“Walaupun berdepan risiko bilik tidak terjual, agensi kembara dan pelancongan ini tidak bimbang kerana kebiasaannya jumlah pelancong yang masuk ke pulau peranginan terutama pada cuti hujung minggu dan cuti umum sangat tinggi,” katanya.
Sumber:http://cempedakcheese.com

No comments: