PEMBUKAAN DAN PENEMPATAN AWAL DI PULAU PERHENTIAN
Pulau
Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18. Tempat yang mula-mula di
buka dan didiami ialah Teluk Dalam, di sekitar sebatang alur air payau yang
cetek yang dikenali sebagai Alur Cina. Orang yang paling awal mendudukinya
ialah Batin Mina dan keluarganya. Beliaulah orang yang bertanggunjawab
menjadikan Pulau Perhentian sebagai satu penempatan.
Pandangan Pantai Teluk Dalam |
ASAL PENDUDUK PULAU PERHENTIAN
Orang yang pertama menduduki Pulau
Perhentian di percayai berasal dari kepulauan Riau, iaitu jajahan takluk
Johor-Riau pada masa itu iaitu Batin Mina dan keluarganya datang ke Pulau Perhentian
dengan menumpang kapal-kapal dagang China yang berulang alik dari China ke Asia
Tenggara. Beliau telah melarikan diri dari buruan Belanda kerana telah
bertindak menentang penjajahan dengan cara merompak dan mengugut kapal-kapal
dagang barat. Keturunan beliaulah yang terus mendiami Pulau Perhentian serta
beberapa keluarga yang berasal dari Tanah Besar Semenanjung.
BAGAIMANA PULAU PERHENTIAN MENDAPAT NAMA?
Pulau ini pada awalnya
tidak mempunyai nama yang khusus. Ianya dijadikan tempat persinggahan bagi
kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti
Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini
juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan
thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu. Oleh kerana pulau ini sering
dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ianya
telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah
atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau
ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang
dan ombak besar.
PENTADBIRAN PULAU DAN HUBUNGAN DENGAN PEMERINTAH NEGERI
Pulau
Perhentian pada masa dahulu ditadbir oleh seorang ketua yang dikenali dengan panggilan
Batin. Beliaulah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan
orang-orang di bawah kawalannya. Batin pada masa itu adalah merupakan seorang
pendekar yang terbilang dan juga seorang bomoh yang handal serta mempunyai ilmu
kebatinan yang tinggi.
Batin
Mina merupakan orang yang pertama menduduki dan mentadbir Pulau Perhentian.
Pada zamannya, teraju pentadbirannya terletak di Teluk Dalam iaitu di Pulau
Perhentian Besar. Pentadbirannya dibantu oleh seorang panglima yang dikenali
sebagai Panglima Dayak. Batin dengan dibantu oleh panglimanya yang
bertanggunjawab bagi memastikan keamanan dan kestabilan persekitaran pulau.
Selepas
kematian Batin Mina, teraju pemerintahan pulau di ambil alih pula oleh adiknya
iaitu Batin Jamal. Tidak lama selepas kematian Batin Mina, mereka yang tinggal
di perkampungan Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar sudah tidak tenteram lagi.
Keadaan ini terjadi kerana adanya gangguan dari makhluk-makhluk halus, yang
dikatakan sebelumnya dapat dikawal oleh Batin Mina. Keadaan menjadi bertambah
buruk apabila tanaman tidak menjadi kerana dirosakkan oleh lutong (sejenis
monyet) dan tikus. Oleh kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi, Batin Jamal
pentadbir pulau pada msa itu mengambil keputusan untuk berpindah.
Batin
Jamal dan semua penduduk Pulau Perhentian pada masa itu telah berpindah ke
Negeri Sanyanya dan membuka penempatan di situ. Negeri Sanyanya ialah Kuala
Besut sekarang ini. Di Negeri Sanyanya (Kuala Besut), Batin Jamal membuka
perkampungan baru. Setelah tinggal beberapa lama di Negeri Sanyanya (Kuala
Besut), Batin Jamal dan orang-orangnya teringin untuk kembali ke Pulau
Perhentian. Setelah mengadakan perbincangan dengan semua orang-orangnya, Batin
Jamal mengambil keputusan untuk kembali ke Pulau Perhentian. Sekembalinya dari
Negeri Sanyanya (Kuala Besut), mereka tidak lagi tinggal di Teluk Dalam tetapi
menduduki Pasir Hantu (penempatan sekarang) di Pulau Perhentian Kecil.
Selepas
kematian Batin Jamal, pentadbiran Pulau Perhentian diambil alih pula oleh Batin
Deris. Pentadbiran Batin Deris dibantu oleh seorang panglima yang dikenali
sebagai Panglima Ebet. Batin Deris dan panglimanya bertanggungjawab terhadap
soal-soal kebajikan dan keselamatan orang-orangnya. Selepas kematian Batin
Deris, warisan kebatinan diambil alih pula oleh Batin Saman. Selepas kematian
Batin Saman, ianya diambil alih pula oleh Batin Yahya. Kemudian, selepas Batin
Yahya meninggal dunia ianya diteruskan pula oleh Batin Talib dengan dibantu
oleh panglimanya yang bergelar Panglima Kecik atau dikenali juga dengan
panggilan Tok Deramat. Pada zaman Batin Taliblah, penduduk Pulau Perhentian
dapat disatukan di satu tempat iaitu penempatan sekarang ini. Batin Talib telah
berjaya mengumpulkan semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan
di sekitar awal abad ke 20.
Selepas Batin Talib meninggal dunia, pentadbiran
Pulau Perhentian diteruskan lagi oleh Batin Sidek. Batin Sidek merupakan batin
yang terakhir sekali dalam warisan kebatinan yang mentadbir Pulau Perhentian.
Beliau meninggal dunia pada tahun 1987. Selepas kematiannya tidak ada lagi
warisan kebatinan yang menjadi ketua penduduk Pulau Perhentian. Ianya telah
diganti dengan seorang ketua kampung.
Batin
Pulau Perhentian mempunyai hubungan istimewa dengan pemerintah negeri iaitu
Baginda Sultan Al-Sultan Terengganu. Kisah perhubungan ini dikatakan bermula
pada zaman Batin Mina lagi sehinggalah kepada batin-batin selepasnya. Hubungan
dikatakan bermula apabila Batin Mina berkeupayaan mengubat penyakit yang
dihidapi oleh baginda Sultan Terengganu.
Mengikut
cerita, pada zaman pemerintahan ayahanda kepada Sultan Sulaiman telah terjalin
hubungan antara Batin Mina dengan baginda Al-Sultan Terengganu yang memerintah.
Sejarah hubungan istimewa dikatakan bermula apabila Almarhum yang memerintah
ketika itu ingin menduga kepandaian dan kehandalan bomoh dalam negeri dan
jajahan takluk baginda. Cara baginda menguji kepandaian bomoh ialah baginda
pura-pura sakit.
Apabila
baginda sakit seluruh negeri dikhabarkan berita itu. Semua bomoh-bomoh dan
dukun-dukun yang handal dipanggil untuk mengubati baginda. Walaupun semua
bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang handal datang mengubati baginda namun penyakit
baginda tidak juga sembuh. Setiap bomoh dan dukun yang datang tidak tahu
penyakit yang dihidapi oleh baginda.
Berita
tentang Al-Sultan Terengganu yang sedang gering itu sampai ke pengetahuan
Tengku Chik, raja yang memerintah Besut pada masa itu. Tengku Chik menyembahkan
kepada Al-Sultan Terengganu tentang adanya seorang bomoh yang handal di Pulau
Perhentian. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan baginda, lalu baginda
menitahkan supaya bomoh dipanggil untuk datang ke Kuala Terengganu dan
mengubati baginda. Setelah dititahkan oleh Sultan Terengganu supaya datang
mengadap, Batin Mina iaitu bomoh yang dimaksudkan oleh Tengki Chik mula
bersiap-siap untuk memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu.
Batin
Mina memulakan pelayaran ke Kuala Terengganu dengan menggunakan sebuah perahu
kecil yang diperbuat daripada batang kayu dan layarnya diperbuat daripada
sebidang tikar. Pada masa itu ialah musim tengkujuh. Batin Mina berlayar
seorang diri mengharungi gelora musim tengkujuh untuk ke Kuala Terengganu
semata-mata untuk mengubati Baginda Al-Sultan. Setelah sampai di kuala sungai
Terengganu dan mendarat di jeti tidak jauh dari Istana Maziah, beliau disambut
oleh seorang wakil Al-Sultan yang dikenali dengan nama Pak Bian. Kedatangan
Batin Mina memang telah ditunggu-tunggu oleh pihak istana.
Mengikut
cerita perahu kecil yang berlayarkan tikar yang dinaiki oleh Batin Mina
mempunyai keanehan dan luar biasa pada pandangan orang ramai. Perahu kecil yang
diperbuat daripada sebatang kayu dan menggunakan layar sebidang tikar itu
dilihat oleh orang ramai yang menunggu ketibaannya bagaikan sebuah kapal yang
besar dan dinaiki oleh berpuluh-puluh orang. Tetapi setelah ianya semakin
hampir dengan pantai ianya dilihat semakin kecil dan akhirnya ianya sebuah
perahu layar yang kecil sahaja.
Batin
Mina dibawa masuk ke dalam istana dan diberi santapan Diraja. Setelah
berehat seketika, Batin Mina dititahkan
mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk melihat penyakit yang dihidapi oleh
baginda. Setelah masuk menggadap, Batin Mina mempersembahkan kepada Duli Yang
Maha Mulia Sultan sebenarnya tidak sakit. Ia sudah mengetahui bahawa Baginda Al-Sultan sekadar
ingin menguji kepandaian dan kehandalan bomoh yang ada di serata negeri.
Setelah al-Sultan mengetahui bahawa Batin Mina sudah mengetahui bahawa Baginda
tidak sakit, Baginda pun terus bangkit dari peraduan dan segera menghampiri
Batin Mina. Baginda Al-Sultan mengakui kehandalan Batin Mina sebagai seorang
bomoh.
Sejak
peristiwa itulah, batin-batin yang tinggal di Pulau Perhentian mendapat layanan
istimewa daripada Baginda Al-Sultan Terengganu. Mengikut cerita, Baginda
Al-Sultan berjanji akan memberi layanan istimewa kepada Batin Mina dan anak
cucunya yang tinggal di Pulau Perhentian. Mulai dari peristiwa itu jugalah Duli
Yang Maha Mulia Sultan-Sultan yang seterusnya dikatakan tetap menghormati
Batin-Batin Pulau Perhentian dan sering juga mengunjungi Pulau Perhentian.
Almarhum
Duli Yang Maha Mulia Sultan Sulaiman, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan
Ismail Nasiruddin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah
Shah juga sering mengunjungi Pulau Perhentian. Mengikut cerita setiap kunjungan
Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan akan disambut dengan upacara penuh istiadat
mengikut tradisi. Segala tradisi ini berterusan sehinggalah kepada batin
terakhir iaitu Batin Sidek.
Kawasan sekitar perairan Pulau Perhentian dan sekitarnya
diletakkan di bawah kawalan Batin-Batin sehinggalah sampai ke zaman
pemerintahan Inggeris. Ianya bermula dari zaman Batin Mina lagi. Selepas kematian
Batin Sidek, tidak ada lagi warisan kebatinan yang mengepalai penduduk Pulau
Perhentian. Ianya diganti dengan seorang Ketua Kampung yang dilantik oleh
masyarakat. Bermula tahun pada tahun 1990, seorang Ketua Kampung mengetuai
penduduk Pulau Perhentian.
PULAU PERHENTIAN |
KEGIATAN SOSIOEKONOMI PENDUDUK PULAU PERHENTIAN DI AWAL PENEMPATAN
Di
awal penempatan penduduk Pulau Perhentian bekerja sebagai petani dan nelayan
saradiri. Penduduknya bercucuk tanam seperti padi dan ubi kayu untuk keperluan
keluarga. Padi ditanam di satu kawasan rendah di kaki bukit kawasan penempatan
di Teluk Dalam Pulau Perhentian Besar. Selain daripada padi, ubi kayu juga
ditanam untuk keperluan sementara menunggu padi mengeluarkan hasilnya.
Sebagai
sumber protein, penduduk Pulau Perhentian pada masa itu menangkap ikan dengan
menggunakan pancing di sekitar perairan Pulau Perhentian. Mereka pergi
memancing dengan menaiki perahu-perahu kecil yang diperbuat daripada
batang-batang kayu yang ditebuk. Segala hasil tangkapan hanya cukup untuk
keperluan keluarga mereka.
Bekalan
makanan seperti beras sebenarnya tidak mencukupi untuk menampung jumlah
penduduk yang semakin bertambah pada masa itu. Batin Mina ketua bagi penduduk
Pulau Perhentian pada masa itu telah mengenakan syarat pada kapal-kapal dagang
Cina yang berlabuh di perairan Pulau Perhentian. Setiap kapal yang berlabuh dan
berlindung di Pulau Perhentian dikenakan cukai dalam bentuk makanan dan
pakaian. Pada masa itu kapal-kapal
dagang Cina yang berlabuh itu dikenali
sebagai ‘wakam’ oleh penduduk kampung. Ianya adalah sejenis kapal layar besar
yang lebih di kenali sebagai tongkang. Jika mereka enggan membayar cukai,
tindakan akan diambil. Barang-barang mereka akan dirampas dan tidak dibenarkan berlabuh si sekitar perairan pulau.
Jika sekirannya penguasa pulau
pada masa itu iaitu Batin Mina dan pembantu-pembantunya gagal mendekati kapal-kapal itu, tindakan
lain akan diambil. Mengikut cerita, pernah terjadi kapal-kapal dagang Cina itu
dihalang pelayaran mereka dengan membina beting pasir di tengah laut bagi
tujuan menyekat pelayaran kapal tersebut. Pembinaan beting pasir itu dikatakan
dibina dengan mengunakan ilmu kebatinan oleh Batin Mina. Setelah perlayaran
kapal itu tersekat, pedagang-pedagang itu terpaksa tunduk dan membayar cukai
kepada Batin Mina.
PENEMPATAN KAMPUNG PULAU PERHENTIAN SEKARANG |
BAGAIMANA PENEMPATAN PULAU PERHENTIAN SEKARANG DIBUKA?
Penempatan
sekarang asalnya satu kawasan yang dipenuhi dengan lalang dan semak samun. Di
Persisiran pantainya adalah hamparan pasir yang memutih. Setelah Pulau
Perhentian ditinggalkan sekian lama oleh Batin Jamal dan orang-orangnya dan
kemudian kembali semula ke Pulau Perhentian, mereka tidak kembali menetap di
Teluk Dalam. Apabila kembali semula ke Pulau Perhentian dari Kuala Besut (Negeri Sanyanya), mereka telah membuka satu kawasan penempatan yang baru.
Tempatnya ialah Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang.
Pada
masa dahulu, sebelum ianya dibuka oleh Batin Jamal, tempat ini adalah kawasan
yang ditakuti oleh penduduk Pulau Perhentian kerana ianya dikatakan berhantu.
Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Mengikut cerita, sebelum
ianya dibuka orang kampung takut mendekati kawasan ini sewaktu mereka memancing
di laut. Ini adalah kerana ada semacam orang yang melambai-lambai di tepi
pantai, pada hal masa itu masih belum ada penghuni lagi di Pulau Perhentian
Kecil. Oleh kerana itulah tempat ini dinamakan Pasir Hantu. Setelah ianya
dibuka oleh Batin Jamal, masalah itu
dikatakan dapat diatasi dan dibuka oleh Batin Jamal, masalah itu dikatakan
dapat diatasi dan ketakutan penduduk pun
hilang.
Sebenarnya,
apabila Batin Jamal dan orang-orangnya kembali dari Kuala Besut (Negeri
Sanyanya ), tidak semua mereka yang kembali itu tinggal di Pasir Hantu, Pulau
Perhentian Kecil. Ada di antara mereka yang tinggal di Pulau Perhentian Besar
tetapi tidak di Teluk Dalam. Ada di antara mereka itu menduduki dan menetap di
Seberang Air Keruh, Seberang Mat Daham, Batu Jong dan Teluk Pauh. Semuanya di
Pulau Perhentian Besar dan merupakan tempat peranginan dan perkelahan yang
menarik pada masa ini.
Selain
daripada itu ada juga yang mendiami Pasir Petani di Pulau Perhentian Kecil.
Dari kajian dan cerita yang diperkatakan
oleh pencerita, penempatan pada masa dulu adalah berselerak di beberapa
tempat di sekitar Pulau Perhentian kecil dan Pulau Perhentian Besar. Tetapi
penduduk Pulau Perhentian takut untuk kembali ke Teluk Dalam kerana tempat itu
dikatakan berhantu dan tidak sesuai untuk didiami.
Penduduk
Pulau Perhentian menetap di satu tempat di sekitar awal abad ke 20 iaitu pada zaman
pemerintahan Inggeris. Orang yang bertanggungjawab menyatukan dan mengumpulkan
semua penduduk Pulau Perhentian di satu kawasan penempatan ialah Batin Talib. Semua penduduk Pulau
Perhentian, tidak kira sama ada di Pulau Perhentian Besar atau Pulau Perhentian
Kecil menetap di satu penempatan sahaja iaitu
di Pasir Hantu iaitu penempatan sekarang. Semenjak semua penduduk Pulau
Perhentian menetap di satu penempatan, tidak ada lagi penduduk di sini tinggal
berselerak di merata-rata Pulau Perhentian. Penempatan sekarang di bawah
pentadbiran enam orang batin, yang bermula dari Batin Jamal hinggalah batin
yang terakhir sekali iaitu Batin Sidek. Sehinggalah sekarang ini, penduduk
Pulau Perhentian tinggal di satu tempat dan segala kemudahan asas senang disalurkan
kepada semua penduduk.
LONG BEACH WAKTU KETIKA DAHULU..CANTIK KAN |
PULAU PERHENTIAN SEMASA JEPUN
Semasa
Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia kedua iaitu di sekitar 1941
hingga tahun 1945, Pulau Perhentian tidak ketinggalan dari terasa bahangnya.
Pulau Perhentian dijadikan pelabuhan tempat persinggahan sementara tentera
Jepun untuk menyerang lain-lain tempat di Tanah Melayu dan Asia Tenggara.
Kapal-kapal tentera jepun berlabuh dan berkubu sementera di Pulau Perhentian.
Tentera
Jepun bertindak merampas makanan dan ternakan daripada orang- orang kampung.
Penduduk menjadi ketakutan, terutama sekali golongan muda. Ini adalah kerana
tentera Jepun bertindak cuba menangkap tenaga-tenaga muda ini untuk dijadikan
buruh keretapi maut di Burma. Bagi mengelakkan diri dari tertangkap, mereka
melarikan diri ke atas bukit dan memasuki hutan Pulau Perhentian. Penduduk
kampung yang lari terpaksa bermalam di dalam hutan dan mendapat bekalan makanan
daripada golongan tua yang masih tinggal di rumah masing-masing secara
sembunyi-sembunyi. Sebenarnya bukan sahaja golongan muda lelaki sahaja yang
melarikan diri tetapi juga golongan wanita kerana takut akan kekejaman tentera
jepun.
MASJID AR RAHMAN, PULAU PERHENTIAN - MASJID BARU |
PULAU PERHENTIAN ZAMAN SEKARANG (Sebelum Era 20an)
Sekarang
Pulau Perhentian sedang pesat membangun. Segala kemudahan asas yang ada di
Tanah Besar terdapat di sini walaupun tidak secanggih yang terdapat di Tanah
Besar. Penduduk Pulau Perhentian hampir mencapai angka seribu orang. Kehidupan
mereka kini tidak lagi susah dan perit sebagaimana beberapa dekad yang lalu.
Mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan Negara.
Dengan
adanya kemudahan elektrik 12 jam, penduduk di sini mampu memiliki dan mengikuti
perkembangan semasa dalam peti televisyen dan tidak lagi tertutup kepada dunia
luar. Boleh dikatakan hampir setiap keluarga memiliki peti televisyen dan
setiap rumah diterangi lampu elektrik. Di samping tenaga elektrik, penduduk
Pulau Perhentian mendapat kemudahan bekalan paip yang disediakan oleh pihak
kerajaan.
Perkampungan
Pulau Perhentian kini menjadi sebuah perkampungan yang lebih tersusun kerana
adanya beberapa fasa perumahan yang dibina oleh kerajaan di samping beberapa
fasa lagi dalam pembinaan. Apabila semua projek perumahan kos rendah yang
dibina itu siap, Pulau Perhentian akan menjadi satu perkampungan yang cantik,
kemas dan tersusun. Dalam tempoh beberapa tahun lagi Pulau Perhentian tidak
akan ada lagi rumah-rumah di tepi pantai menyesakkan persekitaran.
Selain
dari itu Pulau Perhentian kini mempunyai beberapa kemudahan asas yang lain,
iaitu sebuah sekolah untuk kemudahan anak-anak tempatan, sebuah klinik untuk
memberi rawatan dan kemudahan kesihatan kepada penduduk kampung sebelum dihantar
ke pusat kesihatan besar di Tanah Besar. Sebuah pondok polis didirikan untuk
memberi kemudahan kepada orang ramai yang memerlukan pertolongan.
Sejak
penghujung dekad 70an, pelancong dari dalam dan luar negara tidak putus
mengunjungi Pulau Perhentian. Ramai pelancong luar negara mengunjungi Pulau
Perhentian kerana udaranya bersih, pantainya yang cantik dengan pasir putih
bersih serta persekitaran pulau yang menarik. Oleh kerana kedatangan pelancong
dari dalam dan luar negara kian meningkat, penduduk kampung merebut peluang
yang ada dengan menyediakan keperluan untuk para pelancong. Banyak rumah
tumpangan didirikan untuk disewakan kepada pelancong. Bot-bot untuk kemudahan
pelancong pergi dan balik dari Pulau Perhentian juga disediakan.
Perkembangan ini telah menjadikan penduduk Pulau Perhentian mempunyai pilihan
dalam mencari rezeki untuk keluarga. Dari segi taraf hidup, penduduk Pulau
Perhentian hidup yang sama dengan apa yang dirasakan oleh penduduk di Tanah
Besar.